Perhubungan pelabur DXN memastikan para pemegang saham sentiasa mendapat maklumat mengenai kemajuan dan perancangan syarikat.
Cyberjaya, 6 November 2024 – DXN Holdings Bhd. (“DXN” atau “Kumpulan”) [德信控股], pengeluar produk nutraseutikal terkemuka dunia, telah mengumumkan penyewaan sebuah jet korporat Gulfstream G550 selama 12 bulan untuk mempercepatkan usaha pengembangan global DXN.
Jet korporat ini dikhaskan untuk menyokong pasukan pengurusan utama dan ahli berprestasi tinggi yang telah mencapai status “Crown Ambassador”, bagi memudahkan perjalanan kerap ke bandar-bandar utama di pasaran luar negara. Ia membolehkan pasukan kepimpinan berinteraksi dan memberi motivasi kepada 4.9 juta ahli aktif DXN di seluruh dunia setakat September 2024 melalui acara pemasaran secara bersemuka, termasuk mesyuarat pengaktifan pasaran dan acara penghargaan ahli, sekali gus meningkatkan motivasi ahli dan mendorong pertumbuhan jualan. Selain itu, jet korporat ini turut meningkatkan pemantauan ke atas kemudahan pembuatan dan operasi Kumpulan DXN di seluruh dunia, mengukuhkan keupayaan kami untuk memacu pertumbuhan di pelbagai wilayah.
DXN merupakan syarikat global dengan majoriti jualannya diperoleh dari luar Malaysia. Pasaran Amerika Latin merupakan pasaran berprestasi tertinggi Kumpulan dan menjadi pemacu utama pertumbuhan DXN, menyumbang 57.9% daripada jumlah jualan Kumpulan DXN sebanyak RM1,897.8 juta bagi tahun kewangan berakhir 29 Februari 2024 (“TK 2024”). Pada TK 2024, jualan di Amerika Latin mencecah RM1,097.9 juta, peningkatan yang mengagumkan berbanding RM589.8 juta pada TK 2021. Pasaran Asia merupakan pasaran kedua terbesar Kumpulan, menyumbang 25.8% daripada jumlah jualan kasar pada TK 2024, dengan pertumbuhan yang banyak disumbangkan oleh jualan kukuh di India.
Kumpulan memiliki 13 kemudahan pembuatan, dengan 11 daripadanya terletak di luar Malaysia, manakala 2 lagi sedang dibina di Bangladesh dan Nepal. Kedua-dua kemudahan baharu ini dijangka mula beroperasi menjelang akhir 2024. Kemudahan tambahan juga dirancang untuk masa hadapan. Pelaburan DXN dalam kemudahan pembuatan di pasaran utama adalah penting untuk mengurus rantaian bekalan dan mengurangkan kos penghantaran yang semakin meningkat.
Pengerusi Eksekutif dan Pengasas DXN, Datuk Lim Siow Jin (拿督林孝仁) berkata, “Dengan perniagaan kami yang berkembang pesat di pelbagai benua, penyewaan jet korporat ini membolehkan kami beroperasi dengan lebih berkesan, memberi tumpuan kepada perkara yang paling penting iaitu memacu pertumbuhan jualan di pasaran antarabangsa yang pesat berkembang. Memandangkan jarak yang jauh antara lokasi utama, kemudahan dan fleksibiliti jet korporat akan memperkemaskan perjalanan, meningkatkan kecekapan dan pengurusan masa berbanding penerbangan komersial.”
“Prospek DXN di Amerika Latin amat memberangsangkan ketika kami bersedia untuk berkembang ke Brazil. Dengan pasaran kukuh yang telah terbina di negara jiran seperti Peru dan Bolivia, serta pangkalan ahli aktif yang besar, kami berada dalam kedudukan baik untuk mengembangkan perniagaan ke Brazil. Pasaran baharu ini, dengan populasi melebihi 210 juta – kira-kira lima kali ganda lebih besar daripada gabungan Peru dan Bolivia – menawarkan potensi pertumbuhan yang besar untuk DXN. Kami telah memperoleh kelulusan bagi sebelas produk di pasaran Brazil untuk memenuhi permintaan nutraseutikal yang semakin meningkat, khususnya dalam kalangan kelas pertengahan yang berkembang.”
Jet korporat ini akan membolehkan pasukan kepimpinan berinteraksi dan memberi motivasi kepada ahli di seluruh dunia secara bersemuka melalui acara pemasaran seperti mesyuarat pengaktifan pasaran dan acara penghargaan ahli, yang seterusnya meningkatkan motivasi ahli, prestasi yang lebih baik dan jualan yang lebih tinggi.
Pelaburan ini dianggap berbaloi memandangkan DXN telah mencatatkan kadar pertumbuhan tahunan kompaun (“CAGR”) hasil sebanyak 19.8% dalam tempoh 3 tahun dari TK 2021 hingga TK 2024, dengan keuntungan selepas cukai dan kepentingan bukan kawalan (“keuntungan bersih”) berkembang pada CAGR 17.5% dalam tempoh sama. Pada TK 2024, Kumpulan mencatatkan keuntungan bersih tertinggi dalam sejarah iaitu RM311.0 juta dengan hasil sebanyak RM1,897.8 juta.
“Dengan trajektori pertumbuhan yang kukuh serta manfaat positif daripada penyewaan jet ini, kami yakin pelaburan ini akan memberi nilai tambah dari segi pertumbuhan jualan dan keuntungan yang jauh melebihi kos yang terlibat,” kata Datuk Lim menutup kenyataan.
Health
Food and Beverage
Personal Care
Nutrition
Beauty
Branch
Business
Register