Perhubungan pelabur DXN memastikan para pemegang saham sentiasa mendapat maklumat mengenai kemajuan dan perancangan syarikat.
Cyberjaya, 24 Januari 2024 – Syarikat jualan langsung produk pengguna berorientasikan kesihatan dan kesejahteraan global, DXN Holdings Bhd. (“DXN” atau “Kumpulan”) [德信控股] telah mengumumkan keputusan kewangan suku ketiga (“3BFM24”) dan tempoh sembilan bulan bagi tahun kewangan berakhir 30 November 2023 (“9BFM24”).
Bagi 9BFM24, DXN mencatat pertumbuhan kukuh dengan hasil meningkat sebanyak 11.4% tahun ke tahun (“YoY”) kepada RM1.3 bilion, berbanding RM1.2 bilion pada tempoh yang sama tahun sebelumnya (“9BFM23”). Peningkatan ini didorong oleh pertumbuhan jualan yang berterusan dan peluasan rangkaian produk DXN di Amerika Latin dan India, sentimen pasaran positif pasca pandemik, aktiviti aktif oleh ahli, serta promosi produk.
Dalam tempoh ini, Kumpulan turut merekodkan peningkatan pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (“EBITDA”) yang lebih tinggi iaitu RM404.5 juta, peningkatan memberangsangkan sebanyak 8.7% YoY berbanding RM372.1 juta. Keuntungan sebelum cukai (“PBT”) dan keuntungan selepas cukai dan kepentingan bukan kawalan (“keuntungan bersih”) juga mencatatkan peningkatan. PBT meningkat 5.5% YoY kepada RM362.0 juta berbanding RM343.1 juta pada 9BFM23, manakala keuntungan bersih meningkat 5.3% YoY kepada RM232.0 juta berbanding RM220.2 juta pada tempoh yang sama tahun lalu.
Sepanjang tempoh kajian, DXN mengekalkan margin EBITDA, PBT dan keuntungan bersih yang stabil masing-masing pada 30.4%, 27.2% dan 17.4%, berbanding margin 9BFM23 iaitu 31.1%, 28.7% dan 18.4%.
Bagi suku ketiga tahun kewangan 2024 (Q3BFM24), hasil mencatatkan peningkatan sihat sebanyak 2.5% kepada RM450.3 juta berbanding RM439.2 juta pada suku yang sama tahun sebelumnya (“Q3BFM23”). Selain itu, EBITDA mencatat pertumbuhan menggalakkan sebanyak 21.4% kepada RM134.5 juta berbanding RM110.9 juta pada Q3BFM23, manakala keuntungan bersih meningkat 16.5% YoY kepada RM78.4 juta berbanding RM67.3 juta pada Q3BFM23.
Pengerusi Eksekutif Bukan Bebas dan Pengasas DXN, Datuk Lim Siow Jin (拿督林孝仁) berkongsi, “Penubuhan kemudahan pengeluaran baharu di China, India dan Dubai sepanjang tahun ini telah meletakkan kami dalam kedudukan kukuh untuk mempercepatkan pertumbuhan di pasaran sedia ada dan pasaran baharu seperti Amerika Latin dan India. Langkah strategik ini membolehkan kami memperluas kehadiran pasaran dan mengukuhkan lagi pangkalan ahli di rantau tersebut.”
“Selain itu, pada Oktober 2023, kami meraikan satu pencapaian penting iaitu ulang tahun ke-30. Kejayaan ini adalah bukti sokongan tidak berbelah bahagi daripada ahli-ahli setia kami dan kepimpinan mantap pasukan pengurusan di seluruh dunia.”
“Seiring dengan perancangan masa hadapan, kami akan terus memanfaatkan rangkaian ahli aktif global yang luas serta portfolio produk kesihatan dan kesejahteraan yang pelbagai untuk memacu pertumbuhan hasil. Kami komited untuk mengoptimumkan produktiviti dan mengurus modal kerja secara berkesan bagi mengukuhkan kedudukan kewangan,” beliau menyimpulkan.
Selaras dengan amalan pembayaran dividen, Lembaga Pengarah telah mengumumkan dividen interim ketiga sebanyak 0.9 sen sesaham biasa bagi tahun kewangan berakhir 29 Februari 2024 (“TK2024”). Dividen ini berjumlah RM44.9 juta dan akan dibayar pada 8 Mac 2024. Sehingga 30 November 2023, jumlah dividen yang diumumkan bagi TK2024 adalah sebanyak 2.6 sen sesaham biasa, bersamaan RM129.6 juta. Ini mewakili kadar pembayaran 55.9% daripada keuntungan bersih 9BFM24 DXN, selaras dengan polisi dividen syarikat yang menetapkan pengagihan sekurang-kurangnya 50% daripada keuntungan bersih.
Kumpulan mengekalkan kedudukan kewangan yang kukuh dengan tunai dan setara tunai berjumlah RM498.6 juta, melebihi jumlah pinjaman dan hutang sebanyak RM183.3 juta setakat 30 November 2023. Sepanjang tempoh sembilan bulan tersebut, Kumpulan menjana aliran tunai operasi bersih positif sebanyak RM228.3 juta.
Health
Food and Beverage
Personal Care
Nutrition
Beauty
Branch
Business
Register